Wednesday, December 28, 2011

Hidup tanpa Suara.

Assalamualaikum warahmatullah..
Semoga semuanya berada dalam keadaan yang tenang, aman damai dan sihat walafiat hendaknya.

Hampir sebulan tak mewarnai laman ini dengan pelbagai cerita atau pun karutan, mungkin menjadikan saya sedikit kekok untuk memulakan bicara di sini. hiuhiuu..

Itu pun boleh tahan lagi tak blogging saya boleh bercakap dan bercerita dengan orang-orang disekeliling. Tapi nampaknya kali ini dah tak boleh tahan lagi dah. Terpaksa jugak menggunakan cara ni untuk meluahkan perasaan dan emosi hihihi.. Menulis2....

Buat pertama kalinya dalam hidup saya, saya kehilangan suara emas yang telah hampir 20 tahun dipinjamkan kepada saya oleh Yang Maha Kuasa. Sob3..

Sungguh saya tak sangka sampai macam ni sekali jadinya. Tak tahu lah sama ada nak tergelak, atau marah atau sedih dengan keadaan diri ini. Tapi harapnya ianya akan kembali seperti sedia kala. OMG i miss it so much!! suaraKuu..

Adik yang bongsu awal2 lagi dah gelakkan saya bila dengar je suara saya yang telah bertukar menjadi serak2, bukan setakat serak2 basah je yg jadi, langsung tak boleh keluar lagi dah, huhu.. Kalau cakap satu perkataan tu, yang akan kedengaran hanyalah suku kata di akhir perkataan tersebut, itu pun kalau orang lain dengar la.

Apa2 pun alhamdulillah sebab tekak tak terasa sakit bila makanan yang dijamah sampai kat anak tekak ni. Fuhhh bleh makan banyak2 lagi la nampaknya kan.

Sebelum suara ni hilang, memang saya ada batuk2 dan sakit tekak.. tu pun tak ada la teruk sangat sebab saya bukanlah manusia yang "hantu" ais atau minuman2 sejuk. Jadi saya rawat ia dengan madu.. Ok la jugak lepas tu..

Sehinggalah ke saat ini saya kehilangan suara saya buat sementara.. Ye, sebelum ianya pulih seperti sedia kala, terpaksalah saya sentiasa berbisik-bisik bila nak bercakap dengan orang lain. huhu style jugak kan!

Tak pe, sabar2.. 

Allah bagi kita sakit kejap je, kita tahu tu.. sob2.. Nak bagi kita rehat dari banyak membebel dan bercakap agaknya kan huhu.. Tak pe, jom sama2 kita banyakkan berfikir.. hee~



Thanks Allah for everything..
Moga hambaMu ini kuat dan tabah dengan apa jua ujian yang mendatang.
Moga diri ini sentiasa dibawah peliharaanMu Ya Rabb..


Buat semua.. Jaga kesihatan baik2 ye! 




p/s: Geram betol la, Jerit2 dari tadi tak keluar suara, haisshhh.. 


Friday, November 25, 2011

Via phone~

Assalamualaikum...

Heish.. Bile la agaknye saya dapat online dengan seronoknya tanpa ada gangguan yep..

Hehe, baru satu post setelah lebih kurang seminggu berada di rumah.. hajat untuk aktif menulis terpaksa di tunda, ceh!

Gara-gara broadband yang mengalami sedikit masalah, tak dapat lah saya nak banyak membebel dan berceloteh di sini... Kena tunggu cik Bb ok dulu bru la seronok... Hehe..

Jadi, buat masa ni hanya berada di rumah, eh sape kate dok rumah tak ada keje nak buat.. Banyak tau.. Masak, kemas rumah, uruskan kain baju lagi, dan segala macam hal la yg berkaitan... Lebih2 lagi kalau yg ade adik-adik macam SC ni kena jage adik lagi kan... Hehe, tak baik buli adik kn..

Sempena awal muharam yang bakal tiba, saya nak ucapkan selamat tahun baru buat semua umat islam sama ada yang mengenali diri ini ataupun tidak...

Sama2 lah kita memperbaiki kehidupan kita, dengan mempertingkatkan kualiti amalan dan menambahkan mana2 yang kurang..

Salam 1433 hijrah buat semua..

Bulan Safar ni dah 21 tahun la, hehe, dah bertambah matang plak,dan semakin hampir dengan hari kematian... :-D





P/s : entah bile den dapat online lg, hehe,nasib baik bleh gune handphone~

Sunday, November 20, 2011

20112011

Assalamualaikum semua...

huh, Gileeerrr la wey..

Dah lama rasanya tak ngadap segala benda alah yang berkaitan dengan blog ni.. Hah, nie semua gara-gara charger yang secara tak sengaja nya telah pun ditinggalkan kat rumah bila nak balik hostel hari tu.

Hah, amek ko.. dah la musim demam peperiksaan. Memang hebak la kan... segala jenis macam bahan ada dalam tu.. Ehem2, al maklumlah memang jenis orang yang tak suka nak menyusahkan orang.. jadi lebih suka untuk tak on laptop agar tak lah nanti nak kena pinjam charger kat orang lain... wehehehe! *gelak jahat*

Dah hari nie! ye hari ni! saya berjaya meng-online-kan diri dengan blog! yeay..

Dah selamat tiba di bumi indah nan permai iaitu Melaka pada hari Jumaat yang lepas. Terasa jauh pula drive dari Batu Pahat ke Masjid Tanah, hehe.

Sampai di Tesco Melaka (baru), saya berjumpa dengan seorang teman yang dah hampir bertahun tidak bersua muka. Sungguh rindu rasanya, ceh!

Meluangkan masa bersama-sama beliau, macam-macam cerita dan kerenah yang keluar, nie lah jadinya bila dah lama tak jumpa dengan orang yang saya rapat!

Cadangan asalnya mahu ke Alor Gajah, kerana beliau dari Tampin.. dan Alor Gajah pun bukanlah jauh sangat dengan Tampin (negeri Sembilan).

Disebabkan masa sudah agak lewat untuk ke sana, jadi beliau dengan rela hatinya telah menunggu saya di Tesco.

Kalau nak imbau semula perkenalan kami memang sangat Comel la rasanya..hehe, kami kenal dari kecil lagi, dalam tahun 1999 begitulah.. hampir 12 tahun yang lepas.. kecik lagi masa tu.. bukan tahu apa sangat pun..

Namun tak sangka, perkenalan itu berkekalan sampai sekarang dan masih baik sehingga sekarang.

"Kenapa muka lain je?

"Lain apa nye?"

"Oh lupa, muka 10 tahun la katakan"

Haha, geram je.. rasa nak je hempuk dengan apa2 barang yang ada dekat situ.. Nasib baik la anak orang kan.. huhu

***********

20112011.. Cantik tarikh hari ni.. Entah kenapa saya lebih menunggu tarikh hari ni daripada 11 11 11.. Tapi tarikh yang tu pun comel n style gak kan..

Jadi untuk tidak melepaskan peluang yang ada.. Dengan sengajanya saya mencoret sesuatu untuk dikenang.

Hari ini hanya bersantai-santai di rumah. plan awal untuk keluar dan menghiburkan diri dengan aktiviti bermain bowling tidak kesampaian disebabkan satu hal yang tak dapat dielakkan. 

Bila balik macam-macam cerita yang ada, First nak ucapkan tahniah kat Adik Muqit atau lebih mesra dipanggil Aqid, yang mengikut jejak langkah akak sepupu dia ni hehehe dengan kejayaan cemerlang dalam UPSR... 5A's!! pergh cayalah qid!

Dan tak lupa juga buat Adik Nina..adik sepupu saya juga.. dapat 4A 1B.. well done dear..

Hebat2 belaka adik2 akak ni yup! hehe

Buat si kurus keding.. huhu, tahniah sebab dah berjaya ke Adtec Melaka.. welcome to melaka.. Semoga cemerlang dalam temuduga 23 November 2011 ni... Belajar la ghajin2 ea...

Semoga Allah memberkati~

watak utama: aqid, n the geng.. hehe


gambar:
zaty,aqid,aimin,nasif,udin~



coretan 20112011

Wednesday, November 2, 2011

Jom kita kenal2.. Tugasan dak Jijie..

Assalamualaikum dan selamat malam..!

Bumi tetap berputar dan begitu juga masa akan terus berlalu... (Jadi, bila nak study cik kak oi).. hee~

Hari kedua berada di Batu Pahat ini sedangkan yang lain dah pun pergi meninggalkan kampus terchenta. Ada beberapa kerat je kat sini.. Sunyi dan sepi.. Itu yang pasti.

Tapi tak pelah, mana yang ada kita teruskan jeww..

Hah, jom kita layan satu TuGaSan yang telah di-tag oleh cik JBA kita ni.. Disebabkan buat juling  julung kalinya dia men-joinkan diri dengan benda2 alah yang macam gini.. Kita layan kan aje.. heheheh

Nie rules-NYE :

1. Post this rules
2. Write 11 things about urself
3. Answer the Question that tagger set for you
4. Create 11 new Questions for the people who you tagged to answer
5. Choose 11 blogger to tag and link them to the post.
6. NO TAG BACK okay? :)

Ehem2.. sila ambil perhatian ye, disebabkan memang suke langgar rules, jadi akan ada rules yang tak akan di buat ea.. hehehe..

11 things about Myself:

1. Menggunakan nama samaran sebagai Srikandi Cinta di dalam dunia blog. Huhu, sangat tertarik dengan nama Srikandi sejak dibangku sekolah lagi.. Sebab? Ada kaitan dengan Silat...

2. Tak suka bercakap tentang Cinta terutamanya dalam blog lagi-lagi yang melibatkan Masalah walaupun hakikatnya nama blog ada perkataan C.I.N.T.A.. Lagi suka bercerita pasal kawan2 dan pengalaman sendiri... hee~

3. Diam bila berfikir, diam bila marah .Hehhh..

4. Mengantuk dan lapar akan membuatkan hidup menjadi sangat sengsara. Sebab masa tu lah senang nak marah dan mengamuk. Tak suka marah2..

5. Seorang yang sangat teliti, cepat ingat jalan dan tempat (kepentingan memandu). haha.

6. Sangat suka melayan kanak-kanak, senyum dan gelak.

7. Merupakan anak sulung dan mempunyai 3 orang adik. =)

8. Sangat suka pergi jalan-jalan dan sanggup keluar sorang-sorang bila rasa bosan kalau tak ada sapa nak teman.. hehe

9. Mula melibatkan diri dengan dunia persilatan sejak berusia 9 tahun. Hasil dorongan ayah.. +_+

10. Jarang memulakan sesuatu perkara. Namun tak susah untuk menyesuaikan diri bila berhadapan dengan sesuatu. Senang diajak lah kiranya.

11. Tak CEREWET dalam soal makanan, hidang je apa2 pun , gerenti liicinnn dan tak kan ada komplen selagi tak perlu. hehe

Dah cukup itu je, nanti terbocor lak banyak rahsia..

The Questions I have to answer :


1. Benda paling nak buat tapi sampai sekarang belum tertunai?
Jalan2 dekat Mekah, Dubai, Australia.


2. Pencapaian terbaik dalam hidup?
Buat persembahan silat. (best giler). Kene pakse jadi Pengerusi PBSM haha.. 


3. Study o dah kerja?
Pernah kerja, tapi sekarang tengah belajar. sama tempat dengan Cik JBA kite la..


4. Suka bila _____________?
Hati tenang, hidup bahagia dan ceria


5. Benci bila _____________?
Ada orang cari pasal.. hehe


6. Macam mana bila menghadapi sesuatu masalah?
Cari jalan untuk selesaikan masalah. Minta pendapat orang2 yang rapat dengan diri ini.


7. Petang petang suka ___________?
Buat apa2 yang patut. keh3


8. Antara makan dan tidur, which one do you prefer?
Tidur dulu untuk merehatkan badan dan otak yang letih.. Kemudian baru makan. Baru best.


9. Pernah menangis? Kalau pernah, selalu refer pada siapa?
Lahir2 kat dunia kan dah nanges.. Haha.. Refer pada orang yang sangat dipercayai.. Apa2 pun sebaik2nya solat lah dulu kan.


10. Macam mana kita nak hargai orang yang tahu hargai kita? *Demm! sounds so serious!*
Hargai lah dorang balik. haha. Layan dengan sebaiknya. Orang baik dengan kita, kita baik lah dengan orang tu.


11. Err, saya sangat menggemari minuman manis. dan sangat kurang minum air masak. Macam mana nak kurangkan habit ni? 
Muhasabahlah diri anda. Kena banyak baca akibat minum minuman manis. Ala macam ur father tunjuk gambar dalam mastika tu.. hehehe


Ok tu je.. Rules no 4, 5, 6 terpaksa dilanggar.. Haha


Sekian..

Tuesday, November 1, 2011

Tumpuan

Saat hati diserahkan sepenuhnya, tiada apa yang dapat menghalang..


Tiada  ancaman yang dapat melumpuhkan semangat yang kental..


Tiada gangguan yang mampu membuatkan diri lalai dan lemah..


Tiada keraguan untuk melangkah ke hadapan.

Thursday, October 20, 2011

Kereta sakit.

Amaran: Entri ini panjang berjela-jela...

Assalamualaikum warahmatullah buat semua.

Hujan baru saja reda, dari petang tadi hujan dah turun dengan lebatnya.. Nasib baik plan untuk keluar tetap dapat diteruskan, lebih2 lagi kereta yang dihantar ke bengkel petang semalam telah sembuh sepenuhnya. Syukur sangat2.

Ini cerita dua hari yang lepas, belum basi lagi, hihi.. Atas sebab beberapa urusan, lepas solat zohor, saya dan kawan-kawan keluar ke bandar Batu Pahat (BP). Tak jauh pun ,dekat je dengan IPG ni. 

Dua orang classmates saya tak sihat, jadi saya hantar mereka ke Klinik Kesihatan (BP) sebelum kami bertiga terus ke Taman Universiti (Parit Raja). Saya tinggalkan mereka berdua di klinik dan sempat pesan kalau dah sudah semuanya jangan lupa message saya, nanti saya akan ke sana semula untuk ambil mereka.

Lain ceritanya di Taman U.. Kami singgah di Penawar Optometry, sebab cik kak Nadiah nak buat cermin mata baru lo..

Spek yang lama ok je lagi, tapi power spek tu melampau2 padahal rabun tak la teruk mana pun kalau nak diikutkan (tak patut2).. Jadi, kebetulan masa ni tengah promosi, harga spek pun murah2, haruslah untuk tidak melepaskan peluang keemasan yang ada weh!

Hampir dua jam memilih spek, sampai hampir semua spek telah dicuba.. bukan setakat orang yang nak pilih spek mana satu je yang jadi rambang mata, yang menengok ni pun naik juling mata dibuatnya. Kah kah kah. Sungguh sengal disitu..!



Dekat pukul lima petang barulah betul2 pasti nak tempah spek yang mana satu. Kebetulan masa tu pun classmates yang kat klinik tadi dah settle semuanya kat sana, jadi sangat lah sesuai untuk bergerak pergi dari situ, huh kalau banyak masa lagi gerenti makin banyak la spek yang di-try-test, dan makin juling lah mata dibuatnya. Hehe..

Lepas singgah BP Mall, beli makanan dan beli segala apa yang dihajatkan, kami bergerak pulang ke IPG memandangkan waktu maghrib pun dah masuk masa tu, hari pun dah mula gelap..

Saya dapat rasakan sesuatu yang lain pada kereta pada ketika itu, bunyi yang sangat kuat masa saya memandu, dan bunyinya pun pelik.ini bukan cerita seram. 

Hati dah mula rasa tak berapa nak sedap, lain macam je rasanya dan masa tu saya hanya dapat fikir kalau nak jadi apa2 pun biar la dalam campus nanti. Jadi saya teruskan perjalanan seperti biasa, dah tak jauh pun lagi nak sampai IPG.

Bila turun untuk key in ic, saya tengok2 tayar, mana tahu ada apa2 yang tak kena. Saya hanya cek tayar depan dibahagian driver. Sebab saya tahu bunyinya memang datang dari bahagian saya.. tak tergerak pulak nak cek tayar2 yang lain sebab memang nak cepat sampai hostel je masa tu.

Disebabkan saya bawa orang sakit, saya turunkan mereka di hostel sebelum kami yang lain hantar kereta ke tempat parking pelajar. On the way nak ke sana, beberapa orang senior yang baru balik beriadah petang-petang seolah2 beri isyarat dan menunjuk ke arah tayar kereta. 

Masa tu memang tak fikir lain dah, terus ke bahu jalan, berhentikan kereta. Turun dari kereta, mereka2 pun cakap tayar belakang dah goyang. Pergh, tengok2 satu skru dah hilang.. Ya Allah, nasib baik la tak tercabut kat tengah jalan ke, masa tengah drive ke.. Entah bila la skru tu hilang agaknya..

Apa2pun, saya dan kawan-kawan terus naik bilik dan solat maghrib, kalau nak buat apa2 pun masa malam nanti.. Otak pun dah tak berapa nak dapat berfikir dengan baik masa tu. Huh memang nak cakap dengan ayah je masa ni, sebab tahu ayah je yang boleh bagi jalan terbaik macam mana nak settlekan pasal kereta tu. Walaupun tahu masa-masa macam ni ayah memang akan ke surau, jadi cerita dulu kat mak kiteww.. Huhu

Lepas maghrib, ayah call saya dan saya pun mengadulah pasal kereta. Huhu kalau dengan ayah ni nak ngadu apa2 mesti rasa macam nak menangis. Cettt manja la tu konon! haha! Then ayah suggestkan beberapa cara untuk solve problem ni buat sementara waktu sebelum dapat hantar ke workshop esoknya... Ayah suruh ketatkan skru yang ada dan ambil satu skru spare kat dalam kereta.. 

Atas bantuan dua orang rakan yang gagah perkasa, mereka la yang tolong pasangkan skru, ketatkan skru yang tak hilang lagi tuh. Atas keadaan diri yang tak dapat nak fikir dengan baik masa tu, saya tak ingat skru mana perlu diguna dengan alat dari dalam kereta dan yang mana yang perlu dipinjam dari mereka yang ada kereta. haha rasa diri sangat menyusahkan orang lain masa tu tahu! Nasib baik last minute baru ingat.. 

Dah dapat ketatkan skru tayar walaupun hakikatnya tayar masih lagi tak kukuh masa tu, saya nak hantar kereta ke tempat parking, supaya kereta tak rasa menyemak kat tepi jalan tu. Haha, sangatlah pandaikan, sekali 4 orang naik nak gi hantar kereta..!! Baru jalan sikit dah dengar bunyi tayar goyang dan nak tercabut.. Berhenti lagi kat tepi jalan. Hihi kenapa la tak fikir yang kereta tu tengah tak ok.. boleh pulak naik ramai2 kan.

Kawan kat luar kereta yang tolong tengokkan keadaan kereta masa kami 4 orang nak ke tempat parking, mula ketatkan balik skru tu.. Nasib baik tak lama. Lepas dah rasa yakin dah boleh gerak, hanya saya seorang saja yang bawak kereta, tak ada lagi kawan kat sebelah, mahupun ditempat duduk belakang. Lima orang lagi diluar.

Mereka sempat pesan, boleh bawak 30 je, saya dengan rasa berhemah diri, bawak 10 je.. huhu, nanti tak terkejar pulak mereka yang kat belakang. Mereka pun suggest kan park dekat depan Pra Sekolah je.. 

Maka terletak la sebuah kereta pada waktu malam di depan Pra Sekolah..

***********

Esoknya, atas bantuan encik teman dan encik ayah angkat, dialah yang bersusah payah menghantar kereta saya ke bengkel untuk dibetulkan apa yang tak kena. Sebenarnya... err err saya memang tak berani bawak kereta dengan keadaan yang macam tu, apatah lagi kena bawak keluar ke jalan raya BP ni, huhu.. workshop tak jauh pun sebenarnya, depan sikit je dari IPG ni..

Kata taukeh bengkel tu, dalam sehari dah boleh siap.. Dan nanti dia akan call bila dah siap.. Huh, janganlah lama2 sebab tak lama lagi saya nak balik Melaka dah.. 

************
Hari ini!.. hari ini... hihi, plan nak keluar lagi kalau kereta dah siap.. Mulanya ingat nak naik bas je kalau kereta tak settle lagi, kemudian sebelah petangnya baru ke Parit Sulong dengan kereta. Ni ha cik kembar nak hantar kereta sebelum balik esok..

Bila risik2 tanya en teman, dia kata dah siap, bukan setakat dah siap, tapi dah tersedia parking depan tangga cafe lagi tu.. Wahhh pantasnya! 

Alhamdulillah kereta yang sakit telah kembali sihat, dah tak risau lagi dah, dah boleh tidur dengan lena dah, dah boleh makan dengan berselera jugak dah.. oppss risau tu betul lah, tapi sejak bila tak lena tidur dan tak lalu makan hehe..

************
Itulah kisah hidup saya, macam-macam yang terjadi sejak kebelakangan ini.. Pelbagai dugaan dan rintangan yang saya dan kawan-kawan lalui. Alhamdulillah segalanya ada jalan penyelesaian yang tersendiri.. Apa yang jadi lebih membuatkan saya tahu banyak benda pasal kereta, dan yang lebih penting buatkan saya terharu bila kawan-kawan sentiasa disisi tak kira bila susah dan bila senang.

Jadi, saya dedikasikan penghargaan buat mereka2 yang telah banyak menolong saya selama ini. Rasa nak nangis pulak berjiwang2 dekat sini.. hehe.. Cik kembar, Cik dya, Cik fiera dan yang LAIN2... Syukran jazilan!




notahati: Yeay, dah banyak idea nak buat orang semput baca entri, kah3..
             




Wednesday, October 19, 2011

Jalan-jalan Terengganu (Taman Tamadun Islam)

Masih lagi bercerita tetang tempat-tempat yang menarik di Terengganu walaupun kaki ketika ini sedang berpijak di bumi Batu Pahat. Kalau entri sebelum ini tentang Masjid Kristal, jadi sekarang ini marilah-mari kita singgah pula di Taman Tamadun Islam dibawah tajuk Taman Monumen.. hehehe..



Ada banyak monumen kat Taman Monumen ni, yang terdiri daripada pelbagai negara dan tempat... Hah, jom layan gambar dan teka masjid apa kat bawah ni... heee~




 Ok yang nie tak payah la teka, sebab memang nak bagitahu yang ini Monumen Taj Mahal...






 Masjid negara.. kita...





 Alamak, tak ingat pulak ni masjid ape...



 Ini pintu masuk Taman Monumen.





Masjid Negara lagi..


 Masa tengok bahagian yang ini, teringat solat Jumaat kat dalam tv tu... Ada kolam ni...


 Brunei Darussalam..




Pakistan...




Masjid Singapura lagi... lagi dan lagi...



Nampak sweet plak kan mereka berdua ni... wahahaha, cik fiera jgn marah plak ye..


Pakistan lagi sekali..


Banyak lagi sebenarnya gambar2 monumen ni, banyak sangat nak kene upload.. tapi yang di je yg di-shortlisted-kan buat masa ni... hehe






notapendek : Malas nak menaip banyak, risau tentang sesuatu lagi T_T

Saturday, October 15, 2011

Jalan-jalan Terengganu (Masjid Kristal)

Masa PBS yang lepas, saya dan kawan-kawan berkesempatan ke Masjid Kristal. Kenal Masjid Kristal macam mana?

Macam ni haaa.... (bajet orang lain tak pernah datang, kah kah kah)



Dalam satu hari, macam-macam tempat yang kami pergi.. Kita mulakan dengan Masjid Kristal sebagai pembukaan cerita okeh..

Dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu ambil masa dalam 45 minit. Tu pun bergantung pada keadaan traffic masa tuh.. Kalau tak banyak kereta, makin cepat la kita boleh sampai sana...

Tengah2 perjalanan ke sana, hujan turun mencurah-curah dengan lebatnya..

wajib ada tasbih, hehe
(sapa tahu dia faham)

Seharian berjalan-jalan sekitar Kuala Terengganu, akhirnya giliran Masjid Kristal pada waktu malam, menjadikan kami berpeluang ambil banyak-banyak-banyak-banyak gambar Masjid yang sangat cantik dengan pelbagai warna... !!Hurmm, kalau siang mana ada warna-warna ni.. ^_^

Masjid ni akan bertukar-tukar warna pada waktu malam.. Memang sangat cantik.. Ada 7 warna kalau tak silap.. Warna pink pun ada, siap lagi kitorang tunggu giliran warna pink tu bila nak ambil gambar hehe..















Sampai kat sini dah masuk waktu maghrib, lepas solat maghrib baru la kami cuci mata tengok masjid ni puas-puas. DSLR bertukar-tukar tangan.. haha, maklumlah bukan selalu dapat bersama-sama meluangkan masa berjalan kat tempat jauh macam ni. Mana boleh lepaskan peluang kan..

Jom tinjau suasana dalam masjid ni.. Yang ni diambil dari sudut tempat solat perempuan..









Alhamdulillah, merasa juga saya solat di masjid yang tersergam indah ni.. Sayu je dengar azan berkumandang masa masuk waktu Isyak. Subhanallah, indahnya rumah Allah..

Dan inilah ahli-ahli rombongan ke Masjid Kristal..weee~

 baca doa

 senyum-senyum

senyum lagi, tak moh masam2 

 baca doa lagi,
eh2 ade irfan laaaa..


 Bergambar bersama kak Na, P-ki dan Irfan

 tempat sis dya diganti oleh anak buahnya, hee~





Satu memori tercipta indah buat kesekian kalinya.. Panjang umur, lapang waktu InsyaAllah akan ke sana lagi..
Terima kasih bawa kami jalan-jalan kat Ganu! Seronok sangat!


Okeh, Masjid Kristal dah sudah.. Yang lain akan menyusul tak lama lagi.. hehehe..

TUNGGGGUUUUUU...

Friday, October 14, 2011

Pensyarahku FOLLOW blog.

Kelmarin seperti kebiasaan di masa lapang, saya melayari internet. Meneliti seluruh isi blog bagi melihat sebarang perubahan atau pertambahan padanya adalah antara perkara yang mesti dilakukan.

Lihat pada follower atau mereka yang mengikuti perkembangan blog ini, ya.. makin bertambah, dan atas rasa penghargaan pada mereka, saya cuba untuk mengetahui dengan lebih lanjut siapakah mereka, atau mungkin juga mengambil tahu tentang siapa pembaca laman ini.

Muka tiba-tiba berubah jadi sangat excited bila terlihat seseorang yang posing segak ala-ala Ben Ashaari gitu, menjadi salah seorang pengikut blog ini. 



Mula-mula cool lagi, ceh ceh!.. Bila terjahan dibuat ke laman beliau pula.. hati berkata-kata bagai tak mahu henti.. hehe

"Aik, macam kenal je ni.."

Lagi-lagi pabila ada komen yang ditinggalkan di ruangan shoutMix. 



"TAHNIAH... penulisan anda menarik!


Antara komen terbaik yang pernah singgah di ruangan tersebut. Mungkin kerana ketika itu kerana saya membicarakan tentang angan-angan saya.

"Macam pensyarah di IPTHO je"


Berdasarkan gambar dan nama yang tertera, memang seperti pensyarah di IPG ini, namun masih ada keraguan pada ketika itu, kerana tidak dinyatakan dengan jelas mengenai butiran pekerjaan dan tempatnya.

Saya biarkan persoalan itu berlalu begitu sahaja sehinggalah hari ini, saya baca entri beliau yang terbaru ketika itu..

Sah! ni Encik Azlan , salah seorang pensyarah di IPTHO..! semuanya jelas bila saya membaca entri ini.

Saya pernah membantu beliau ketika Pendaftaran Pelajar Baru pada tahun 2011 ini. Membantu menguruskan segala borang dan maklumat yang perlu diserahkan oleh pelajar baru kepada tutor masing-masing.

Ok, nampaknya lepas ni saya perlu memperbaiki penulisan saya lagi, lebih-lebih lagi bila laman ini dilayari oleh segenap lapisan masyarakat. =)

Buat semua, terima kasih kerana terus menyokong saya..

Jom kita ke blog beliau.. ! klik klik.

***********

IPG : Institut Pendidikan Guru
IPTHO: singkatan bagi IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor.





**notahati : kali pertama pensyarah di sini ! hee~

Wednesday, October 12, 2011

Pandangan Ilmuan Islam Berkenaan Bajet 2012

Jom tengok apa pandangan Ilmuan Islam tentang bajet 2012 yang dibentangkan tempoh hari..

>> Err, 60 tahun nanti baru pencen ye ...

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.
Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.
Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.
Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion  bagi hujung tahun ini.
Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Juga sabda baginda:-
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari." ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )
Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan  di antara beberapa peserta pertemuan  ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.
Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-
A) Sokongan sepenuhnya
Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-
  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna', murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai  pesakit  luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.
B) Sokongan dan nota perhatian
Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
  1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem 'teknologi hijau', selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran 'carbon emission' berlebihan kepada persekitaran.
  2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu  menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
  4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan 'micro credit', namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan.
  6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  7. SME 'revitalization fund' untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
  8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
  10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)
C) Komentar umum
Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-
  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerajaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang 'outstanding' pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
  4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali 'import tax' untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukkan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  10. 'Green tax' sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandartidak disebut di dalam bajet kali ini.
  13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan 'dosa' ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh 'membunuh' kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepada jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.
Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat". (An Nisa:58)
"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas : 26)
Sabda Rasulullah SAW:
"Tiada iman pada orang yang tidak beramanah." (Riwayat Ahmad)
Dari kami untuk khidmat masyarakat,
Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
Ustaz Dr. Maszlee Malik
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas'ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,
Ustaz Ramadhan Fitri Elias,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Zamri Zainuldin 'Mantop'
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman
Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta
Dr. Mohd Nizam Barom