Tuesday, March 8, 2011

Saat bibir terkunci, hati petah berbicara

Allah kurniakan kita mulut agar kita dapat bercakap perkara-perkara yang berfaedah, agar kita dapat saling ingat mengingati antara satu sama lain. Alangkah beruntungnya kita, dipinjamkan nikmat suara untuk mengalunkan ayat suci Al-Quran. Betapa beruntungnya kita dapat saling bercerita, berkongsi pendapat, dapat bertanya dengan lisan tentang perkara yang berkaitan dengan agama daripada orang yang lebih arif.

Maha Suci Allah yang tidak pernah membiarkan hambaNya begitu sahaja. Tetapi kitalah yang selalu melupakannya, kita yang selalu mengabaikanNya tanpa kita sedar. Saya tersentuh membaca kisah Lelaki,kucing & ahli sufi (klik untuk baca) yang telah dikongsi oleh seorang sahabat di dalam blognya. MashaAllah, kisah kucing dan lelaki tersebut benar-benar menggambarkan contoh antara kita dengan Allah. Betapa Allah itu sangat bersabar dengan kita walaupun telah banyak kemungkaran yang manusia lakukan di muka bumi ini. Sayangnya Allah pada kita, Dia bagi kita peluang yang begitu luas dan banyak, untuk kita memperbaiki diri dan menginsafi setiap kesalahan yang kita lakukan. Walau betapa banyak kesalahan yang kita lakukan, Allah tidak mengazab dan menyeksa kita pada waktu itu juga. Itulah salah satu tanda kasih sayang dan rahmat dariNya buat kita.

Adakah kalian ingat akan kumpulan Wali Band dari Indonesia??.. Ya, ada di antara lagunya yang berunsur nasihat, yang mengingatkan kita yang lalai agar segera kembali ke jalan yang benar. Cuba kita hayati setiap bait-bait kata di dalam lagunya yang berjudul Taubat Maksiat. Jika kita hayati dan fahami liriknya dengan mata hati, itu pun sudah cukup buat kita tersedar dan tersentak dengan segala dosa yang kita lakukan. Allah itu Maha Pengasih, manusia tidak diciptakan maksum seperti para nabi yang terpelihara daripada melakukan dosa. Setiap manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan tidak kira dalam keadaan sedar atau pun tidak.

Hari ini saya sematkan di minda dan di hati satu pesanan daripada seorang ustaz buat kami semua pelajarnya . Semoga saya tidak akan lupa apa yang dipesan buat saya dan rakan-rakan yang lain. Dalam hidup ini ada 4 perkara yang kita perlu ingat dalam apa jua sekalipun yang ingin kita lakukan.


  • ikhlas pada Allah
  • jujur dengan manusia
  • amanah
  • integriti
Niat kita dalam melakukan apa jua hendaklah sentiasa ikhlas kerana Allah. Jangan buat sesuatu kerana terpaksa atau pun dengan sebab untuk kepentingan diri kita sahaja. 

Jujur dengan diri sendiri dan juga jujur dengan orang lain. Kita mungkin boleh menipu orang lain tetapi kita tidak mungkin boleh menipu diri kita sendiri. Orang lain mungkin tidak tahu akan kesalahan yang kita lakukan, tetapi secara jujurnya kita lebih tahu akan apa yang kita lakukan sama ada betul atau salah, baik atau buruk.

 Amanah. Boleh kita ulaskan dengan amanah dengan apa yang telah Allah pinjamkan buat kita. Ingatlah, apa jua yang kita miliki pada hari ini adalah pinjaman semata-mata. Tidak akan kekal selamanya. Harta dan ahli keluarga yang kita ada, suatu hari pasti akan pergi meninggalkan kita buat selamanya. Begitu juga dengan orang yang kita sayang, tidak selamanya akan tetap berada di sisi kita. Ada yang mengatakan bahawa sayang tidak semestinya memiliki. Amanah dengan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini, amanah dengan segala nikmat yang dikurniakan, amanah dalam setiap peranan yang dipertanggungjawabkan agar kita dapat menjawab dengan tenang apabila dipersoalkan kelak.

Integriti. Antara kata lainnya ialah ihsan. Apa itu ihsan?? Ihsan yang dimaksudkan ialah kita merasai seolah-olah kita melihat Allah ketika beribadat dan Allah melihat kita pada setiap perbuatan yang kita lakukan. Kalau setiap daripada kita sedar akan sifat ini, maka amanlah dunia daripada sebarang jenis kemungkaran. Nescaya setiap langkah yang kita buat, akan membawa kita ke arah yang diredhaiNya tanpa perlu mengundang kemurkaan Allah.

********************************************************************************

Ya Allah, apa yang kucoretkan adalah buat peringatan diriku sendiri, juga buat peringatan yang lain. Andai aku leka dan lalai, tariklah aku Ya Rabb, agar tidak aku terus terpesong daripada landasan yang sebenar. Aku punya kelemahan, yang selalu membuatku alpa akan apa sebenarnya yang aku perlu miliki di dunia ini. Ingatkan aku Ya Allah, bahawa hidup ini adalah untuk mencari redhaMu... Ingatkan aku..

** hati pasti berbisik biarpun bibir terhenti daripada berkata-kata.

No comments: