Saturday, April 16, 2011

Ujian : Bukan Untuk Dikesalkan



"Pernahkah anda rasa keseorangan, rasa tidak mempunyai sesiapa, rasa yang hidup anda sudah tidak berguna?"
Kepulangan anda ke kampung halaman tidak sangat bermakna. Orang lain hidup dalam keadaan bahagia dan gembira dengan keluarga, anda pula rasa tertekan. Kawan yang dulunya sama-sama bergelak ketawa, kini menjadi lawan. Janji-janji manis mahu sehidup semati bersama kekasih kini menjadi cuka kehidupan yang cukup perit untuk ditelan.
Sesungguhnya  Allah S.W.T,  Maha Mengetahui. Justeru, usah dikesal dan dirungut jika ujian datang tanpa disangka dan tanpa diminta. Hadapinya dengan penuh ketenangan dan percaya yang Dia akan sentiasa bersama kita selagi kita percaya. Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa kita akan kekal menjadi diri sendiri tatkala kita berada di puncak. Kita mungkin berubah tanpa kita sedari, namun segala sesuatu yang akan berlaku esok sudah berada di dalam genggaman-Nya.
Allah S.W.T mencintai kita lalu dia memberi ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran dan keimanan kita sebelum kita mencapai ke puncak. Tujuannya, agar kita sentiasa mengingati-Nya dalam perjalanan kita mencapai impian diri. Namun manusia, seringkali melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba sewaktu senang. Apabila musibah datang, barulah mahu diingati pencipta-Nya dan pada waktu ini, bibir mula tidak kering dari meminta pertolongan Allah S.W.T, meminta agar diberi kesabaran dalam menempuh ujian-Nya. Baru kita ingat akan musibah itu ialah ujian. Di waktu senang, kita lupa tentang ujian daripada Allah S.W.T untuk melihat masih bolehkah kita mengingti-Nya atau terus hanyut dalam kesenangan hidup di dunia.
Namun, selalu kita kehairanan. Sudah letih bibir menyebut nama Allah S.W.T, meminta agar diberi pertolongan dan kekuatan untuk bangkit semula daripada kegagalan. Hidup ini terasa perit dan jerih tetapi sayang, doa masih tidak dimakbulkan. Jadi, adakah kita mahu berputus asa? Usah begitu kerana Allah S.W.T masih mahu kita merintih kepada-Nya sebelum doa kita dimalbulkan.
Kita sudah lama hidup dalam kesenangan  jesteru apabila jatuh, Allah S.W.T memberi masa yang lama dan panjang untuk bangkit semula dengan harapan agar kita sedar dan bangun daripada tidur yang panjang. Jadi, apabila kita sudah berada dipuncak semula, kita tidak akan mengulangi perkara yang telah berlaku yakni hanya mengingati Allah S.W.T di waktu susah.
Firman Allah S.W.T :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
(Surah Al-Ankabut : 2-3)

Jadi ingatlah, yang penting di dalam kehidupan adalah sejauh mana kita telah melangkah dari tempat kita bermula. kita tidak punyai pilihan untuk menentukan tempat kita bermula kerana itu adalah takdir Allah S.W.T tetapi kita mempunyai kemampuan untuk ke mana dan bagaimana kita melangkah. Di dalam langkah kita itu, pasti akan diberi ujian. Namun, ujian itu bukan untuk ditangisi dan dikesalkan tetapi untuk menguatkan keimanan kita kepada Allah S.W.T.

No comments: