Monday, September 26, 2011

Madah Cinta Rabi'ah Al-Adaweeyah


Ensiklopedia Islam diselak satu persatu, buku rujukan telah selamat dicari sebentar tadi.. Hmm, masa lapang yang ada, boleh juga digunakan untuk membaca buku yang ada. 

Tiba di satu halaman, mata tertumpu pada satu tajuk yang dikupas dengan ringkas namun isinya tetap padat. Apa yang menarik perhatian ialah bila aku terbaca mengenai ini....


Syair Mahabbah yang banyak diucapkan oleh para ahli sufi sering dibandingkan kepada Rabi'ah. Beliau antara lain pernah berkata, " Aku mengabdi kepada Tuhan bukan kerana takut kepada neraka. Bukan pula kerana mengharap masuk syurga. Tetapi aku mengabdi kerana cintaku kepada-Nya. Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalamnya. Jika aku menyembah-Mu kerana mengharap syurga, campakkanlah aku darinya. Tetapi jika aku menyembah-Mu demi Engkau semata-mata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku." 

Menarik bukan... Menyentuh perasaan dan hatiku. Itu yang pasti, betapa agungnya cinta Rabi'ah pada Allah swt. mengabdikan diri bukan kerana mengharapkan apa-apa balasan, tetapi hanya kerana rasa cinta yang mendalam buat-Nya.

Tak dapat dinafikan, apa yang dibaca berjaya memuhasabahkan diri ini. Aduh, tertunduk malu dibuatnya, bagaimana cinta kita pada-Nya? Amal kita selama ini? Setandingkah dengan pendirian dan syair Rabi'ah yang tertulis di atas?..

Siapa Rabi'ah

Dikenali dengan Rabi'ah Al-Adaweeyah. Beliau di namakan dengan Rabi'ah kerana beliau merupakan anak yang keempat. Yang mana dalam bahasa Arab Rabi'ah bermaksud yang keempat. Adaweeyah pula diambil sempena nama ayahandanya. Maaf nama penuh ayahnya tak dapat diingat.

Rasa cinta yang sangat mendalam pada Allah membuatkan Rabi'ah tidak berkahwin dan hanya mengabdikan diri pada Allah. Beliau merasakan bahawa cukuplah hanya cinta Allah sahaja bagi diri-Nya dan tidak perlu ada cinta lain dihatinya.

**************************************

Masa mencemburui, ada kelas yang perlu dihadiri selepas ini. Belum puas rasanya aku meneliti dengan lebih mendalam kisah perempuan mulia bernama Rabi'ah. Ianya sudah tentu sejarah yang telah tertulis, namun penuh dengan nila-nilai berharga yang perlu diteladani.

Apa yang pasti, kutinggalkan Pusat Sumber IPTHO pada hari itu dengan rasa yang bercampur-baur. Ada niat yang murni tertanam dilubuk hati.. 




Thursday, September 22, 2011

Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa

alt

"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangunggjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golonganyang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat inginnya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan berjaya dengan wujudnya keyakinan yang kuat, wujudnya keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia bekorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)      Keimanan
b)      Keikhlasan
c)      Semangat
d)      Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangatialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada kepada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisima berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa adalah gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) telah turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan pengusaan mana – mana masyarakat tamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusiasejagat ini.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era ini yang dicengkam dengan arus sejagat atau apa yang di sebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini di mana kapitalisma mencengkam dunia adalah kita melihat bagaimana yang kaya akan mengusai si miskin, bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar, mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam mengusai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanafaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian. Akedemi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang kononnya mendabik dada sebagai golongan yang sebenarnya kulit tanpa isi, kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini adalah bukan menyuburkan kejernihan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini yuang terus dilabelkan pada mahasiswa?. Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang jelas negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah. Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapakali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita memperbiarkan nama-nama kita terus di conteng-conteng, di carik-carik lagi. Di samping perjuang terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan diletakkan di kesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggung jawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita sebagai menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) - 2


Pengalaman Berasaskan Sekolah(PBS) kali ke 2 telah selamat kami laksanakan. Kali ini saya dan beberapa orang rakan yang lain telah memilih negeri Terengganu sebagai lokasi untuk PBS, berbanding sebelum ni kami buat dekat Tangkak.

Pemilihan sekolah kali ni tak serumit masa sem yang lepas, sebab dah dirancang dengan lebih awal. Kalau dulu pecah kepala jugak fikir dengan siapa dan sekolah mana yang harus dipilih.  Alhamdulillah sekali lagi segalanya berjalan dengan sangat lancar dan segala tugasan dapat diselesaikan.

Untuk kali ini kami jalani PBS di Sekolah Kebangsaan Kuala Berang merangkap sekolah lama bagi salah seorang rakan saya. Macam yang kita dah sedia maklum, sesi persekolahan di Terengganu bermula pada hari Ahad jadi raya ke empat lagi saya dan kawan-kawan dari Johor dan Perak dah naik bas pergi Terengganu. Huhu agak menyentap perasaan jugak la bila lambai mak ayah adik-adik dan si dia sebelum bertolak. Aishhh.. nak tinggalkan orang yang tersayang la katakan demi tanggungjawab pada negara dan bangsa. eceh!



Sekolah yang baru jadi macam-macam pengalaman yang baru dapat dikutip. Kalau dari segi penggunaan bahasa di sekolah rasanya tak jadi masalah bagi kami yang bukan berasal dari Terengganu. Tak susah nak faham apa yang mereka katakan, cuma ada juga sesetengah perkataan yang kami tak tahu! huhu kena belajar lebih banyak lagi nampaknya ni loghat Terengganu!

Masa banyak dihabiskan dengan soal selidik antara kami dan murid-murid. Nasib baik la buat beramai2.. jadi   kami bahagi-bahagikan interview ni sesama kami. Sekali interview dapat 3 orang pelajar sebab ade tiga orang penyoal selidik. Yang sorang lagi buat kerja tambahan sebagai photographer! Esh ini sangat penting sebagai bahan bukti tahu!

Kami utarakan soalan berkaitan dengan akidah pada murid-murid. Macam2 jawapan yang kami terima. Yang lawak pun ade, yang buat sakit hati sebab soalan tak dibagi respons pun ada. Ada jugak murid-murid yang sporting, suruh nyanyi dia nyanyi.. Secara keseluruhannya mereka ini ada pengetahuan tentang akidah macam megucap dua kalimah syahadah, tahu tentang nabi, rasul dan malaikat, namun pemikiran mereka tentang perkara-perkara ni yang kita nak tahu. Macam mana kepercayaan mereka dan sejauh mana pengetahuan yang mereka ada.

Dah soal selidik murid-murid, guru-guru pulak yang jadi mangsa inteview kami. Putar-putar pun soalan dan jawapan yang sama juga yang kami perolehi, kiranya tak lari dari skop pengajaran dan pembelajaran. Huhu nak banyakkan kolaborasi-lah katakan.

Yang sebenarnya nak cerita tentang tempat2 yang sempat saya lawati di Terengganu, tetapi terjadi cerita pasal PBS la pulak. Bukan selalu dapat pergi Terengganu ni, tu yang berjalan sakan kami kat sana. 

Terima kasih buat penaja tempat tinggal kami iaitu cik Nurul Nadiah dan keluarga yang telah mengalu-alukan kedatangan kami selama lebih kurang seminggu di sana (ucapan hari raya). Walaupun gurau-gurau nak mintak duit sewa bilik, alhamdulillah tak mintak. keh keh keh. gurau je. Makanan kat sana best2.. dapat la kami ni makan nasi dagang yang dimasak oleh bonda cik Nurul Nadiah kita ni. Juga nasi Arab yang sangat best! Dan kami juga berkesempatan pergi pasar malam kat Kuala Berang, yang pastinya macam-macam jenis makanan ada, yang tak pernah jumpa pun ada jugak. Terima kasih banyak2...

Sebelum ke penghujung, meh kita berkenalan dengan rakan-rakan PBS kali ni yang semuanya puteri-puteri belaka. 4 orang dari IPTHO, seorang dari IPIS, seorang dari KDRI dan dari IPBA juga seorang.





Dan tak lupa juga gambar kenang-kenangan dengan beberapa orang guru yang ada masa kat bilik guru sebelum kami menamatkan PBS kali ni. Kalau nak tengok gambar Guru Besar yang sporting, tungggguuuu entri akan datang.. kekeringan idea buat masa ni huhu, banyak lagi nak tulis sebenarnya ni.. tapi, nanti la.. masih ada beberapa esaimen yang menanti untuk disiapkan.. hee~







Tuesday, September 20, 2011

Maaf.

Kadang-kala emosi sukar dikawal

Maaf atas keterlanjuran.






Sunday, September 18, 2011

Pemimpin yang disegani


Dikisahkan bahawa terdapat seorang lelaki yang diberi anugerah kepandaian dan kecerdikan akal fikiran oleh Allah swt di sebuah negeri yang permai. Beliau bukan sahaja pandai dalam pelajaran malah turut sangat berkebolehan berhujah dalam pelbagai perkara.

Tahun demi tahun berlalu, beliau dilihat semakin mencapai kegemilangan dalam kehidupannya. Semakin hari semakin banyak amanah yang diperolehinya sehingga masa yang ada dianggap seperti emas yang sepatutnya tidak dibazirkan begitu sahaja.

Sehinggalah suatu hari, beliau telah dilantik menjadi orang yang paling penting dalam sebuah universiti terkemuka tanah air. Beliau sedar bahawa amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak mungkin beliau akan mensia-siakan amanah tersebut. 

Seperti yang dijangka, kehidupan beliau semakin hari semakin sibuk dan beliau sering ke luar negara atas kepelbagaian urusan yang perlu diselesaikan.

Namun beliau tidak pernah berasa angkuh apatah lagi meninggi diri dengan kedudukan yang beliau miliki pada hari ini. Keprihatinan beliau terserlah dengan sikap ramah dan layanan yang beliau berikan terhadap sesiapa sahaja yang beliau temui.

Pernah suatu hari, apabila seorang rakan lama beliau datang dari jauh untuk bertemu dengan beliau, beliau tanpa berfikir panjang terus menghubungi setiausaha beliau untuk membatalkan semua temu janji dan aktiviti pada hari tersebut.

Rakan yang datang itu dilayan dengan sebaik mungkin. Aktiviti beliau pada hari itu diganti dengan meluangkan masa bersama rakannya yang telah lama tidak bersua muka. Berbual-bual dan berkongsi pengalaman kehidupan masing-masing serta makan bersama-sama pada diri beliau langsung tidak akan menjejaskan kerjanya yang sudah tentu berderet-deret menunggu untuk diselesaikan.

Walaupun menjawat jawatan  yang tinggi, beliau seorang pemimpin yang disegani dan disayangi masyarakat.
Tidak hairanlah dengan sikap beliau yang sentiasa merendah diri, tidak sombong dan sentiasa menunjukkan keprihatinannya sangat mengagumkan sesiapa sahaja yang mengenali beliau.

Sesungguhnya sikap dan sifat yang ada pada diri beliau perlu diteladani dan dicontohi oleh semua orang terutamanya generasi muda pada hari ini.

Apa yang kita miliki pada hari ini merupakan pinjaman daripada Allah yang perlu diuruskan dengan sebaik mungkin. Jadi, apa yang ada kita syukuri dengan sebenar-benarnya, ujian yang datang kita tempuh dengan kecekalan dan ketabahan dalam menyelesaikannya.

Moga kita sentiasa dibawah peliharaan Allah swt hendaknya.





Wednesday, September 14, 2011

Wordless Wednesday..





Dari Lensa Kamera~



Kuala Terengganu, 
Terengganu Darul Iman

(3 September-10 September 2011)