Sunday, September 18, 2011

Pemimpin yang disegani


Dikisahkan bahawa terdapat seorang lelaki yang diberi anugerah kepandaian dan kecerdikan akal fikiran oleh Allah swt di sebuah negeri yang permai. Beliau bukan sahaja pandai dalam pelajaran malah turut sangat berkebolehan berhujah dalam pelbagai perkara.

Tahun demi tahun berlalu, beliau dilihat semakin mencapai kegemilangan dalam kehidupannya. Semakin hari semakin banyak amanah yang diperolehinya sehingga masa yang ada dianggap seperti emas yang sepatutnya tidak dibazirkan begitu sahaja.

Sehinggalah suatu hari, beliau telah dilantik menjadi orang yang paling penting dalam sebuah universiti terkemuka tanah air. Beliau sedar bahawa amanah tersebut perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan tidak mungkin beliau akan mensia-siakan amanah tersebut. 

Seperti yang dijangka, kehidupan beliau semakin hari semakin sibuk dan beliau sering ke luar negara atas kepelbagaian urusan yang perlu diselesaikan.

Namun beliau tidak pernah berasa angkuh apatah lagi meninggi diri dengan kedudukan yang beliau miliki pada hari ini. Keprihatinan beliau terserlah dengan sikap ramah dan layanan yang beliau berikan terhadap sesiapa sahaja yang beliau temui.

Pernah suatu hari, apabila seorang rakan lama beliau datang dari jauh untuk bertemu dengan beliau, beliau tanpa berfikir panjang terus menghubungi setiausaha beliau untuk membatalkan semua temu janji dan aktiviti pada hari tersebut.

Rakan yang datang itu dilayan dengan sebaik mungkin. Aktiviti beliau pada hari itu diganti dengan meluangkan masa bersama rakannya yang telah lama tidak bersua muka. Berbual-bual dan berkongsi pengalaman kehidupan masing-masing serta makan bersama-sama pada diri beliau langsung tidak akan menjejaskan kerjanya yang sudah tentu berderet-deret menunggu untuk diselesaikan.

Walaupun menjawat jawatan  yang tinggi, beliau seorang pemimpin yang disegani dan disayangi masyarakat.
Tidak hairanlah dengan sikap beliau yang sentiasa merendah diri, tidak sombong dan sentiasa menunjukkan keprihatinannya sangat mengagumkan sesiapa sahaja yang mengenali beliau.

Sesungguhnya sikap dan sifat yang ada pada diri beliau perlu diteladani dan dicontohi oleh semua orang terutamanya generasi muda pada hari ini.

Apa yang kita miliki pada hari ini merupakan pinjaman daripada Allah yang perlu diuruskan dengan sebaik mungkin. Jadi, apa yang ada kita syukuri dengan sebenar-benarnya, ujian yang datang kita tempuh dengan kecekalan dan ketabahan dalam menyelesaikannya.

Moga kita sentiasa dibawah peliharaan Allah swt hendaknya.





1 comment:

Mawar berduri said...

^_^ nice nice .. amanah itu dtg nya dari allah yg akn di hitung d akhirt kelak .. huhu peace ;)