Thursday, February 21, 2013

Rebah, Bangun

REBAH

Apabila rebah, pasti sakit. Saat itu, automatik mulut kita mengaduh. Kononnya menyesal dan serik tidak berhati-hati, namun tanpa sedar dalam waktu yang sama mulut lancar memaki hamun secara tiba-tiba. Pelik, padahal salah diri sendiri!

Kadang-kadang hati kecil kita selalu bermonolog letih dan bosan serta mempertikaikan usaha yang sudah dilakukan. Cepat sungguh kita mengaku kalah. Ketika semangat diri mula longgar, prinsip nafsu mula menghasut membatasi pegangan akal dan akhlak.

"Eh, aku studi bagai nak gila, tapi tak juga dapat A, result lagi teruk adalah. Baik tak payah struggle studi macam ni. Buat penat aja," keluh seorang pelajar.

"Aku dah fed up dengan masalah ni. Semua benda yang aku usahakan tak menjadi..."luah seorang pekerja.

Pernah berdepan dengan situasi begini? Tanya pada hati, berbicaralah dengan diri sendiri dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Adakah niat kita berselari dengan apa yang kita usahakan selama ini? Adakah Allah didahulukan dalam setiap pekerjaan yang kita tekuni? Adakah lemah dan rebah itu kerana lupakanNya? Jawapannya, boleh jadi ya atau tidak. Ambillah masa untuk bermuhasabah memperbaiki diri dan perhalusi niat dari hari ke hari.

Pesan pada diri, acap kali rebah bukan petanda anda lemah dan lelah. Namun ia adalah tangga-tangga usaha yang perlu didaki demi menuju pintu di tangga yang terakhir. Allah belum mengurniakan kejayaan dan kegembiraan kerana belum tiba masanya. Allah juga menggantikan sedikit ujian supaya kita kukuh dan akrab memohon dan bergantung pada Dia.

Jika gagal, usaha dan usahalah lagi. Siapa sangka usaha yang terakhir itulah bakal membuahkan natijah yang sebenar.

Jangan rebah ketika hampir ke garisan penamat!

BANGUN

Lihat kanak-kanak kecil yang baru belajar bertatih. Jatuh, rebah, kemudian bangkit semula. Langsung tidak terzahir sikap putus asa dan menyerah kalah begitu sahaja. Hebat pinjaman semangat dan roh kekuatan yang Allah tiupkan pada anak-anak kecil ini.

Untuk berjaya, ukurlah tahap usaha yang dipertaruhkan. Hakikatnya, bukan tukul yang memberi kesan kepada kedalaman paku dan papan tetapi si pemukul yang mencorakkan. Pemukullah yang bertindak sebagai medan berkuasa. Makin bertenaga paku diketuk, makin kemas dan kukuhlah hasilnya.

Bangkit dan bangunnya anda daripada kegagalan dan kejatuhan, itu petanda anda seorang yang LUAR BIASA.

Anda membuktikan anda mampu berjaya dengan kebangkitan dan keazaman yang baru.

 Ingat ya, gagal hanya sukses yang tertunda.


-vice versa
Solusi isu 50

No comments: