Saturday, March 2, 2013

Aku sampaikan pesanan

Hidup kalau tak ada ujian, bukan hidup namanya.

Dalam kepayahan, aku cuba meneliti. Untuk apa semua ini terjadi? Kenapa semua ini berlaku?

Lalu satu keyakinan tertanam dalam hati dan diri. Pasti ada hikmah kenapa Allah aturkan semua ini. Bukankah setiap perkara yang berlaku pada diri kita itu dengan izin Allah jua.

Pada usia ini, betapa aku sangat memahami, bahawa hidup ini ujian. Umur begini, ujiannya begini. Umur begitu, bentuk ujiannya pula begitu.

Allah sedang menjawab setiap pertanyaan dan permintaan kita. Yakinlah.

Bahagia yang diimpi, mana mungkin senang-senang sahaja kita perolehi. Ada rintangannya, ada halangannya, ada sakitnya, untuk kita merasa nikmat dan menghargai apa yang dikatakan dengan bahagia itu dikemudian hari.

Maka bersabarlah walau apa pun yang terjadi dalam hidup kita. Kita punya Allah bukan?

Semalam, aku pinjam Gen-Q seorang sahabat. Aku selak halaman demi halaman.

Sampai di satu halaman. Mata aku tertumpu pada tajuknya.

"Tiada masa untuk berputus asa"

Menarik ni.

Benarlah, semasa kita mendapat nikmat, kita langsung tidak mempersoalkan, mengapa nikmat ini yang aku terima? Mengapa aku yang layak untuk menerima nikmat ini?

Tetapi, berbeza apabila kita ditimpa musibah, didatangi dengan pelbagai bentuk ujian. Sering kali kita mempersoalkan. Kenapa ini semua terjadi pada aku? Kenapa berat ujian ini ?

Adakalanya turut membuat perbandingan dengan orang lain. Kenapa aku begini dan mengapa dia tidak begitu.

Aku datang lewat ke kelas Dr, hehe. Seperti biasa, kongsi pantun.

Lalu ini yang kukongsi..

Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu, 
Bersenang-senang kemudian.


Ini pantun budi dari nenek moyang kita dahulu. Betapa mereka lebih berpengalaman daripada kita. 

Bukan senang untuk senang, bukan susah untuk susah. Renungkan.

"Buatlah kebaikan, nescaya kita akan temui hati kita padanya."

Saat hati gelisah, berlarilah mendapatkan Dia Yang Maha Mendengar. 

Walau kita cuba untuk berkongsi dengan sesiapa sekalipun orang yang kita percaya dalam hidup ini, mereka masih tidak dapat memahami kita dengan sebaiknya. 

Hanya Allah yang mengetahui apa yang ada dalam hati kita.

Sahabat,

bersabarlah andai kau terasa ianya begitu berat untuk kau lalui dan hadapi.

Kita punya Allah yang Maha Besar. Ingat ya. Allah lebih besar daripada segala apa yang kita hadapi dan lalui itu.

Aku berkongsi bukan bermakna aku hebat. Aku juga manusia. Lemah, lembik, adakalanya tak mampu nak berdiri dengan kaki sendiri.

Siapa kita untuk tidak hidup tanpa Dia? Kita hanya hamba.

Sahabat,

Andai aku lupa, tolong ya, tolong ingatkan aku. Tolong sedarkan aku. Katakan saja yang sebenarnya, agar aku sedar kembali dan berpijak pada jalan yang sepatutnya.

Adakalanya aku terfikir, sampai bila mahu begini? Sampai bila harus aku rasa begini?

Aku punya hidup, yang perlu aku tanam benih-benihnya di sini, agar dapat aku tuai di hari yang abadi kelak.



Jangan dikesalkan dengan apa yang pernah kau lalui. Jangan dikesalkan dengan kesilapan yang kau telah lakukan. 

Manusia yang tidak pernah gagal dan jatuh, adalah lebih merbahaya daripada mereka yang pernah gagal dan jatuh.

Yang pernah jatuh, akan tahu dan faham bagaimana sakitnya jatuh itu, lalu dikemudian hari akan lebih berhati-hati agar tidak jatuh kembali.

Yang sentiasa berada di zon selesa, haruslah berjaga-jaga, risau andai jatuh nanti, tidak tahu bagaimana caranya untuk bangkit kembali.

Kita yang pernah jatuh dan gagal, bangkitlah dengan kekuatan Tuhan kita, agar kita menjadi orang yang LUAR BIASA.


Hari ini dah 2 Mac 2013. Allah masih bagi aku kesempatan. Akan aku teruskan perjalanan ini, sehingga tiba ke destinasi yang dituju.

Buat semua yang membaca, doakan yang terbaik untuk aku ya. 

Jika rindu, jenguklah ruangan ini. Datanglah ke mari. 

Andai ada yang aku silap, mengguris mana-mana hati, maafkanlah aku.

Andai ada yang kalian boleh ambil sebagai peringatan dan pedoman dalam hidup, gunakanlah dengan sebaik mungkin.

Diruangan ini, aku kongsi apa yang aku rasa, aku kongsi secebis kisah hidup aku yang ada. Aku curahkan apa yang terdaya.

Moga ada manfaatkannya buat kalian semua.



Aku pergi dahulu. Buat masa ini, sehingga aku kembali. Entah bila.

Aku perlu ruang baru.

Allah sentiasa ada. 



Terima kasih sudi baca :')






No comments: