Tuesday, August 27, 2013

Coretan dia untuk DIA

Suatu subuh...

Dia berlari-lari anak menuju ke Masjid. Adakala langkahnya dipercepatkan. Terasa dada mula berombak kencang, dia memperlahankan larian, namun masih melangkah laju dalam samar-samar cahaya bulan.

Semuanya gara-gara panggilan agung yang masuk ke gegendang telinganya, sehingga memaksa langkahnya deras menuju ke tempat suci di mana suara itu datang.

Sepanjang perjalanan, dia tidak putus-putus berzikir dan memuji Allah. Hatinya sentiasa memanjatkan kesyukuran pada Ilahi kerana memilih dirinya dalam jutaan hamba yang ada di muka bumi ini untuk melaksanakan solat fardhu Subuh di Masjid.

Tidak putus-putus lidahnya memohon ampun pada Tuhannya agar mengampunkan setiap dosanya. Manusia. Mana pernah tidak melakukan kesalahan. Hatinya menangis-nangis minta diampunkan.

Nikmat berpagi-pagian inilah yang dia idam-idamkan selama ni. Sungguh dia begitu mensyukuri nikmat itu. Bagi dirinya, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apa yang dia rasai. Di dalam hatinya sentiasa berdoa kepada Tuhan Yang Esa, agar rasa itu, kemampuan itu dan kebahagiaan itu, dapat dinikmati selagi hayat dikandung badan.

Dia bertambah yakin dan bersemangat, apabila menyedari bahawa orang yang menunaikan solat fardhu Subuh itu akan dijaga Allah pada hari yang dilalui. Ditambah pula dengan solat Subuh itu sendiri disaksikan oleh para Malaikat.

MasyaAllah. Lalu tertanam satu azam di lubuk hatinya, dia mahu para Malaikat itu menyaksikan betapa dia berusaha untuk melaksanakan Solat Subuh berjemaah di Masjid sebagai bukti kasih dan kesetiaannya pada Dia Yang Satu.

Melaksanakan solat yang Allah perintahkan saja dapat menjadikan Allah menjaga dirinya, apatah lagi jika dia dengan sedaya upaya berusaha untuk menunaikan solat secara berjemaah, pasti Tuhan akan menjaganya!

Sungguh aneh sekali rasanya bercinta dengan Tuhan. Tidak pernah dia merasa kecewa. Rintihan dan aduan sentiasa mendapat perhatian. Tidak pernah dia rasa disisihkan sebagaimana manusia itu seringkali saja merasa kecewa dengan makhluk yang bersifat tidak sempurna.

Sungguh, andai diberikan emas dan permata sebagai ganti sekalipun, dia tidak akan merelakan nikmat itu berlalu pergi dari hatinya!

Maka, dia seringkali berdoa, pada Dia Yang Maha Mendengar, agar sentiasa memelihara dirinya daripada perkara yang melalaikan.

Nikmatnya meletakkan Allah sebagai yang paling utama dalam semua urusan. Allah nombor satu. Mematuhi segala perintahnya menjadi kewajiban, menjauhi larangannya satu kemestian. Mesti.

Dia sering kali mendengar, "apabila kita berubah, seluruh kehidupan juga akan turut berubah".

Dahulu dia tidak faham. Sering tertanya-tanya bagaimana seluruh kehidupan akan berubah sekiranya diri berubah.

Dia meneruskan perjalanan dalam kehidupan, yang entah bila berkesudahan. Adakalanya onak dan duri memaksanya untuk berhenti seketika. Terfikir mahu berpatah balik dan berputus asa dari meneruskan perjalanan. Betapa halangan di hadapan seringkali menjadikan matanya tidak dapat melihat mana-mana jalan untuk dia meneruskan perjalanan.

Mujurlah dia sentiasa sematkan dihati, apa pun berlaku, dia punya Tuhan Yang Maha Kuasa. Lalu apa lagi pilihan yang dia ada selain berserah diri padaNya?

DIA itu selalu ada. Tidak pernah menghampakan hambaNya.

DIA yang memberi kekuatan untuk dia agar terus melangkah walau kaki terasa bagaikan lumpuh untuk melangkah.

Kerana Allah itu Maha Besar dan Maha Kuasa, dirasakan seluruh kehidupannya turut dipermudahkan olehNya.

Sungguh unik dan istimewa rasa ini. Tidak dapat dirasai oleh orang lain, sekalipun dia berkongsi cerita ini dengan ahli keluarganya, teman rapatnya mahupun siapa-siapa sahaja.


Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Tika aku jatuh
Kubangkit kernaMu

Ku tahu ku adaMu
Disisiku selalu
Bantulah hambaMu
Mencari keredhaanMu


Catatan hamba menuju Tuhan.


Kem Transformasi Negara,
BIRO TATANEGARA.

Alor Gajah, Melaka.

No comments: