Saturday, November 23, 2013

Warna Kehidupan

Hidup ini perjalanan.
Dan setiap manusia mempunyai 
liku-liku perjalanannya yang tersendiri.


Tak terkecuali aku. 
Yang bergelar manusia biasa, insan hina milik Tuhan Yang Esa.
Aku pilih jalan dan aku harus menempuhinya.
Mungkin jalan ini berbeza antara kita..
tapi tujuannya tetap sama.


Mahu menggapai Syurga Allah.


Setiap yang berlaku itu dengan izinNya jua.
Walau di tengah perjalanan itu, sering kali aku merasa berat dan payah.
Beruntung bukan menjadi mereka yang diberi Taufiq dan HidayahNya?


Kita punya Allah tempat bergantung :-)



Tanda Allah cinta, dia beri UJIAN pada kita.
Sakit. Ya ternyata amat sakit dan perit.
Tapi ternyata itulah yang terbaik buat kita.


Kerana Ujian itu semakin mendekatkan kita dan DIA :-)



Ayuh jadi manusia yang bermanfaat pada semua.
Kita insan hina ciptaan Allah.
Sering sahaja kita melampaui batas,
namun Rahmat dan keampunanNya mengatasi segalanya.




Kususuri Sirah~
Aduhai Sang empunya diri,
contohilah mereka yang telah dahulu berjuang demi Islam.
Banyak kisah yang boleh dijadikan pelajaran dalam hidup ini.


Jalan ini tidak mudah.
Namun, hadapilah dengan berani.
Jadilah manusia yang 
CEMERLANG
BIJAK
KUAT 
dan 
BAIK.



Andai Allah menjadi matlamat, 
tiada satu sebab lain pun untuk kita berhenti berjuang



Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi
Ampunkan hambaMu ini,
sesungguhnya tiada yang dapat memberi ampun melainkan Engkau.




Wahai Allah,

Tetapkan hatiku pada agamaMu dan jalan ini.








**gambar : google

Sunday, November 17, 2013

Wasiat Rasulullah kepada Sayidina Ali

Sebagaimana wasiat dan pesanan yang dihadiahkan Rasulullah saw kepada isteri, anak, kaum kerabat dan Umat Islam seluruhnya, wasiat Sayidina Ali selaku menantu Baginda adalah antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan renungan serta pedoman bersama. Sungguhpun wasiat ini adalah khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim perlu jadikannya sebagai iktibar dan amalan.


Wahai Ali, bagi orang Mukmin itu ada tiga tanda iaitu,
Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
Tidak terpesona dengan pujuk rayu
Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu,
Jujur dalam berkata-kata
Menjauhi segala yang haram
Merendahkan diri

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda iaitu,
Merahsiakan ibadahnya
Merahsiakan sedekahnya
Merahsiakan ujian yang menimpanya


Wahai Ali, bagi orang yang bertakwa itu ada tiga tanda iaitu,
Takut berlaku dusta dan keji
Menjauhi kejahatan
Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu,
Mengawasi dirinya
Menghisab dirinya
Memperbanyakkan ibadah kepada Allah swt


Ibnu Abbas ada meriwayatkan bahawa Ali berkata, "Pada hari perkahwinanku dengan Fatimah, Rasulullah bersabda kepadaku. Mengutarakan 13 wasiat khusus untukku iaitu :


  • "Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (bilik mandi) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia akan mendapat laknat (mal'un)."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau memakai cincin pada jari telunjuk dan tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut."

  • "Wahai Ali sesungguhnya Allah mengagumi hambaNya yang melafazkan istighfar."
           "Tuhanku ampunilah dosaku sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau."

Allah berfirman,
"Hai Malaikat, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa, melainkan Aku. Hai malaikatKu, jadilah saksi bahawasanya aku telah mengampunkan dia."


  • "Wahai Ali, takutilah engkau daripada dusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai pendusta dan bahawasanya yang benar itu memutihkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawa benar itu berkat dan dusta itu celaka."

  • "Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu domba. Bahawasanya orang yang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau bercita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari."

  • "Wahai Ali, takutilah engkau dari membantah dan berkelahi dengan memaki hamun dan bersumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan."

  • "Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Mencungkil gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan."

  • "Wahai Ali, jangalah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hambaNya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran."

  • "Wahai Ali, perhitungkanlah kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah."

  • "Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri engkau. Hendaklah engkau berlaku adil dalam setiap hukuman. Maka dengan demikian, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi."

  • "Wahai Ali, elokkan perhubungan antara masyarakat jiran sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya diletakkan darjat yang tinggi bagi engkau."

  • "Wahai Ali, peliharalah pesanan dan wasiatku. InsyaAllah engkau akan mendapat kemenangan dan kelepasan."


Buku : Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam
Penulis : Rusydi Ramli Al-Jauhari



Selawat dan salam buat Junjungan besar 
Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda

Wednesday, November 13, 2013

Tahap Kemanisan Iman

Mereka yang telah mendapat kemanisan iman ertinya sudah mula melepasi tingkat mujahadah yakni tahap bersusah payah, berhempas pulas melawan nafsu dan syaitan. 


Maksudnya, perjuangan dan pemburuan untuk memiliki kemanisan iman perlu melalui jalan yang sukar. Kemanisan itu hanya berada di kemuncak pendakian. Sebenarnya hati manusia melalui beberapa tahap dalam usaha mentaati Allah.


TAHAP USAHA MENTAATI ALLAH


Tahap 1 : Tahap Kepahitan (Kepedihan)

Tahap 2 : Tahap Kebiasaan

Tahap 3 : Tahap Kemanisan


Tahap 1 : Tahap Kepahitan (Kepedihan)


Ini ialah tahap permulaan dalam langkah menjalani ibadah. Walaupun berdasarkan ilmu yang ada seseorang telah tahu bahawa kebaikan itu perlu dilakukan dan kejahatan itu perlu ditinggalkan, tetapi di peringkat pelaksanaan ia begitu perit untuk dilakukan. Jiwa terasa amat terseksa. Untuk bangun solat suubuh misalnya, amat menyeksakan. Begitulah juga sewaktu kali pertama mengenakan pakaian menutup aurat, meninggalkan riba dan sebagainya.


"Tahu" boleh dicapai dengan belajar, 

tetapi

"mahu" perlu melalui proses mujahadah.


Ramai orang yang tewas di peringkat ini. Mereka terlalu manjakan diri sendiri hingga tidak sanggup bersusah-susah demi mentaati perintah Allah. Terasa pedih sedikit, sudah mengalah. Terasa pahit sedikit, terus diluah. Mereka lupa bahawa untuk mendapatkan kesenangan dan ketenangan yang berpanjangan dan berkekalan perlu melalui kepahitan yang sedikit dan sementara. Mereka tidak sanggup bersusah-susah melawan nafsu demi mencapai kemanisan iman. Padahal kepedihan mujahadah itu hanya sekelumit jika dibandingkan dengan kepedihan api neraka.


Dalam konteks ini, Imam al-Ghazali pernah menempelak sikap malas bermujahadah orang Islam yang berada dalam kebenaran berbanding rahib-rahib Kristian, Hindu dan lain yang sanggup bersusah payah sedangkan mereka dalam kebatilan. Dan kita patut berasa malu betapa hebatnya pengorbanan dan sikap bersungguh-sungguh orang kafir untuk mendapatkan kenikmatan dunia yang sementara, sedangkan kita masih bermalas-malasan untuk mendapat kenikmatan akhirat yang kekal abadi!


Tahap 2 : Tahap Kebiasaan


Apabila mujahadah berjaya diteruskan, seseorang akan menempuh tahap kedua yakni kebiasaan. Apabila seseorang terus membiasakan diri melakukan amalan-amalan yang baik dan meninggalkan kejahatan, lama-kelamaan kepahitan yang dilalui pada peringkat pertama akan beransur hilang. Kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


Yang pahit sekalipun tetapi jika dilakukan berulang-ulang kali akan hilang kepahitannya dan timbul rasa biasa mengamalkannya. Rasa malas, berat dan sukar akan dapat diatasi apabila sesuatu amalan dilakukan berulang kali. Justeru, dalam kaedah pendidikan kita sering diingatkan agar membetulkan yang biasa dan kemudian membiasakan yang betul. Untuk berada pada tahap ini, mujahadah perlu dilaksanakan secara konsisten (istiqamah).


Tahap 3 : Tahap Kemanisan 


Akhirnya, sesiapa yang istiqamah dalam mujahadah akan sampai ke peringkat halawah (rasa manis). Setiap ibadah yang mulanya susah payah itu apabila terus dibiasakan akan ada kemanisannya. Solat ada kemanisannya. Puasa ada kemanisannya. Berzakat dan lain-lain, pasti ada kemanisannya tersendiri. Malah sampai kepada peringkat mati syahid pun ada kemanisannya. Sehinggakan mereka yang mati syahid punya keinginan untuk kembali semula ke dunia untuk merasai kemanisan mati syahid itu buat kesekian kalinya.


Kemanisan iman mengatasai segala kemanisan dunia dan isinya. Sayidina Abu Bakar r.a berkata, "Sesiapa yang telah mengecapi sebahagian daripada kemurnian cinta kepada Allah swt, maka hal itu akan menyibukkannya daripada mencintai dunia dan mengasingkan diri daripada seluruh cinta manusia".




Dari buku : Semuanya Soal Hati 

Penulis : Pahrol Mohamad Juoi

Sunday, November 10, 2013

Kisah Ketua Mencari Penolongnya.


Seorang sahabat aku menjadi calon ketua kelas kami untuk sem yang akan datang.

Disebabkan semua ahli kelas dah selesai tanggungjawab sebagai ketua dan penolong, maka pemilihan si sahabat merupakan yang paling istimewa iaitu tidak melalui proses pengundian seperti ketua dan penolong pada sem yang lepas.

Beruntunglah, kerana Allah memudahkan gilirannya. Hidup ini ujian. Maka, dia juga tidak lepas daripada diuji Allah.

Ketua sudah ada, tetapi penolong yang akan menjadi orang kanan pada si ketua belum lagi dikenalpasti orangnya.

Lalu dengan penuh rasa tanggungjawab, si ketua pergi berjumpa dengan Tutor untuk membincangkan mengenai perkara ini.

Ditemani oleh seorang kawan, si ketua pun menyatakan permasalahan yang timbul kepada Tutor yang amat disegani lagi dihormati.

Beberapa nama telah disenarai pendekkan. Ada yang menolak berdasarkan alasan munasabah, maka sekali lagi, pening kepala si ketua dibuatnya memikirkan masalah ini.

Tutor memberikan kuasa pada ketua untuk memilih penolongnya sendiri.

Tetapi, si ketua bimbang akan ditolak dan menimbulkan ketidakpuashatian pada rakan yang terpilih kelak.

Alhamdulillah, ketua diberi kekuatan untuk melakukan solat sunat Istikharah untuk meminta petunjuk dan pertolongan daripada Allah swt.

Pastinya, pertolongan dan perancangan Allah adalah yang terhebat dan terbaik daripada segala perancangan yang ada di langit dan di bumi.

Selesai istikharah, ketua pun diberi 'rasa' dan 'bayangan' siapakah yang akan bersama-sama menerajui kelas PA untuk semester yang akan datang.

Istikharah sudah, maka sekali lagi ketua bermusyawarah dengan Tutor bagi mencari penyelesaian pada masalah ini.

****

Suatu hari aku bersantai-santai di bilik seorang kawan. Sahabat baik juga la. Kawan yang bakal bergelar ketua pada semester yang akan datang masih lagi belum selesai dengan masalahnya mencari penolong ketua.

Ketika itu, bukan kami berdua je yang ada di bilik itu, ada lagi seorang kawan bersama kami.

Berteka-teki tentang calon yang sesuai untuk memegang jawatan penolong tersebut, tiba-tiba dia bersuara..

"Macam mana ni, aku nampak kau ni" katanya sambil tersengih-sengih bagai memberi satu gurauan pada aku.

Lalu berlakulah sedikit keriuhan di antara kami bertiga. Diakhirnya, kami ketawa bersama-sama dan menganggap ianya satu gurauan yang belum pasti menjadi kenyataan.

28 Oktober 2013. Kantin.

Dengan izin Allah, jamuan yang dirancang untuk satu kelas tidak menjadi. Tersilap hari.

Pagi itu, apabila mendapat panggilan daripada pihak kantin mengatakan bahawa makanan telah siap, baru masing-masing tersedar tentang kesilapan kecil yang membawa impak yang amat besar.

Rakan-rakan yang lain dah pun selamat menjamu selera. Yang belum makan hanya 4 hingga 5 orang sahaja.

Aku yang tidak terlibat dalam proses menempah makanan, tiba-tiba disuruh supaya tidak membawa duit untuk ke kantin.

Kata Iffah "Ira, tak payah bawa duit"

Aku yang blur-blur, mempersoalkan apa yang disuruh.

Akhirnya Iffah akur dengan ketegasan aku. "Emm, bawa je la" sambung Iffah.

****
Sampai di kantin, baru aku faham apa yang jadi. Nasi Ayam Penyet sudah tersedia.

Nak batalkan tempahan, sudah terlambat. Ramai rakan-rakan kelas yang dah makan. Maka kami pun sepakat untuk membungkuskan untuk mereka.

"Ira, call Hamzi ajak dia turun sekali" kata Iffah pada aku.

"Eh, bukan Hamzi tak balik lagi ke?" sampuk seorang kawan.

"Siapa cakap? Pandai-pandai je. Dia ada lah, dah balik semalam" aku sangkal kenyataan itu.

Lalu tak semena-mena aku membebel. Tak puas hati. 

Nasib baik kawan-kawan aku tu faham. Tak apalah mereka pun hanya sampaikan je apa yang dia dengar. Bukan salah dia pun.

Pengajarannya pada aku. Bercakap perlu jujur. Andai tak pasti, selidik dulu baru cakap.

Sebab itu dalam Islam, diam itu lebih baik seandainya tidak dapat berkata yang baik-baik.

Ok ter-emo. Astaghfirullah.

****
Kami berlima menikmati Nasi Ayam Penyet. Hampir selesai makan, Tutor kami sampai dan bersama-sama kami menikmati hidangan tersebut.

Macam-macam cerita dibualkan. Pelbagai isu dikongsi bersama. Tak terkecuali tips peperiksaan diberi untuk kami.

Tutor yang memberi nasihat sambil berjenaka membuatkan kami tidak kering gusi ketawa. 

Sekali lagi, isu siapa penolong ketua jadi bualan. Rancangnya, esok selepas peperiksaan akan ada perjumpaan kelas bersama Tutor bagi menyelesaikan masalah ini.

Yang ada kat situ, semua dah menjeling kat aku. 

Ohho, tidaaakkkk..

****
28 Oktober 2013. Masjid At-Tarbiyah

Dapat 'hint' tu, aku jadi seram sejuk pula. Aku ke? Aku ke? Aku ke? Kenapa aku? Arghhh.

Kalau aku penolong siapa s.u? Tiba-tiba terdetik nama Zati.

Stress sikit. Rasa macam tak percaya.

"Tak apa la, belum tentu lagi kan, relax la, x confirm pun lagi"

Dalam serabut-serabut tu, aku hampir buat solat Istikharah. Tiba-tiba tersedar, eh apa pula, bukan aku sendiri yang nak jadi penolong ni. Ok, tukar, buat solat hajat.

Aku mengadu kat Allah, lepas tu minta kalau betul aku yang terpilih, minta Allah mudahkan urusan.

Cuak betul.

Tiba-tiba handfone vibrate. 

Borak punya borak, aku sempat beritahu dia..

"....Em tak tahu la betul ke tak, tapi maybe saya kena jadi PKO...."

Macam biasa, tak disokong...

".....Awak mana boleh pegang-pegang buku ni...."

"Em tu la...."

****
29 Oktober 2013. Dewan.

Dewan senyap sunyi. Adakalanya terdengar juga bunyi kertas diselak, pen jatuh ke lantai, memberi tanda bahawa semua tengah khusyuk menjawab soalan peperiksaan.

Aku yang mulanya khusyuk, tiba-tiba teringat pasal isu 'penolong' ni. Tiba-tiba jadi resah. 

"Ish boleh teringat plak. Jawab la dulu soalan ni"

Macam biasa, rekod aku dari sem 1 sampai sekarang tak pernah keluar dewan awal.

Siap awal pun, ada banyak masa lagi dan boleh sedekahkan sesuatu buat kertas yang berisi jawapan, buat pensyarah yang mengajar, buat ibu bapa yang banyak berkorban untuk aku.

Walaupun cuma dengan Al-fatihah, moga Allah memberi sebaik-baik balasan.

****
Aku dan 3 orang rakan keluar dari dewan setelah peperiksaan diumumkan tamat oleh Pengawas yang bertugas.

Tengok handfone, ada satu mesej dari Iffah.

"Ko kat mana?"

Aduhai. Aku main berdebar. Entah kenapa entah.

Yang tahu kemungkinan ni hanya beberapa orang. Hamzi, aku, Iffah, wanie dan mungkin satu dua orang yang lain.

****
"Untuk pilih PKO, saya minta Ustaz yang undi" kata Iffah.

Aku yang dengar terus rasa gembira. Alhamdulillah lega, selamat akuuuuuu.

Bukan aku yang jadi. Aku dengan yakinnya menenangkan diri sendiri.

Kebarangkalian untuk nama aku diundi oleh Ustaz adalah sangat tipis. 1 nisbah 14, mungkin.

Ustaz mengambil satu kertas yang terpilih. Hamzi yang mengintai dari belakang buat aksi bersahaja, lagi la aku yakin bukan aku yang dilantik

Jadi, aku sangat lega.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu suara.. 

"Hazirah...."

Allah!...........

****
Orang-orang disekeliling aku mengucapkan tahniah sambil bersalaman dengan aku.

Tak terkecuali Zati yang berdekatan dengan aku.

Laju Zati berkata pada aku "Nanti aku tolong.." sambil tersengih-sengih.

Kini, tibalah masa untuk undian bagi jawatan S.U pula. Buat kali yang kedua Ustaz mencabut satu lagi kertas, lalu lama dia memandang ke arah aku dan rakan-rakan.

"Eh, siapa? Orang sebelah aku ke?" Respon hati aku bila lama melihat Ustaz memandang ke arah kami.

Senyap. 

Tiba-tiba...

"Izati..."

Kami ketawa. Zati turut ketawa. Aku salam Zati. Tahniah!! Giliran aku pula mengucapkan tahniah.

"Jadi betul-betul plak bila aku cakap nak tolong kau tadi" Zati tersengih.

"Eh ira, dulu aku jadi PKO kau jadi SU aku, sekarang kau PKO aku plak jadi SU. Kita tukar" sambung Zati lagi.

Aku ketawa. 

Allah punya plan memang sentiasa hebat dan cantik kan? MasyaAllah.

****
Bendahari pula, disandang oleh kawan yang pernah jadi PKO aku pada sem 4 yang lepas. 

Sekali lagi, Allah aturkan kami akan bekerja bersama-sama dalam sebuah organisasi.

Ustaz memberi beberapa komen. Untuk aku, Ustaz sendiri sedar yang Allah dah beri tanda-tanda sehari sebelum hari kejadian.

"Semalam, dia duduk sebelah kanan saya" kata Ustaz pada kami.

****
Subhanallah. Betapa benarnya bahawa pada setiap kejadian, setiap perkara terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi mereka yang mahu melihat, mendengar dan berfikir.

Al-Quran itu benar. Sebagai petunjuk sepanjang zaman, sebagai peringatan dan pedoman buat semua Umat Islam yang mahu mengambil pelajaran.

Allah is Great. Allah Maha Besar. 

Kisah ini sangat besar dan sangat bernilai bagi aku.

Betapa kuatnya kesan Istikharah, betapa bahagianya setiap jalan yang dijalani dengan Allah sebagai matlamat.

Kawan-kawan, jadikan Allah segala-galanya bagi kita ya :-)






p/s : Selesai rasminya nama aku naik jadi PKO, biha menoleh ke belakang. "Ira, nak tulis kat blog ke?" dia berkata sambil senyum. Aku ketawa.

Hari ini, aku coretkan secebis kisah ini disini. Kerana aku yakin, kisah-kisah yang besar, bermula dengan kisah-kisah yang kecil dahulu!

I love Allah! :-)









Friday, November 8, 2013

Hijrah. Bila Allah minta untuk aku berperang.

HIJRAH

Aku tercari-cari kertas yang dah lama aku simpan. Asalnya memang kertas itu berwarna kuning, dan makin kuning jadinya tahun demi tahun.

Dibawah kertas bersaiz A4 yang dilipat itu, ada tulisan kecil.. "Panitia Agama Islam/Mekar 2004"

Dalam diam aku mencongak.. "ohh, lamanya, dah hampir 9 tahun aku simpan kertas ni".

Kertas itu bukannya satu isu yang besar bagi aku, apa yang sangat berharga buat aku adalah kandungannya.

"Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun"

Tahun ni, sekali lagi kertas tersebut aku jadikan rujukan bila Maal Hijrah menjelang. Sebelum masuk waktu Maghrib, tangan kutadah meraih simpati dan permohonan daripada Dia Yang Maha Penyayang.

Begitu juga sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang menandakan tahun yang baru mendatangi kita, sekali lagi kertas itu aku pegang sambil menadah tangan memohon diberkati dan dirahmati Allah.

Rasanya bagai baru semalam aku baca doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah.

"Dah masuk tahun baru? Ya Allah, cepatnya masa berlalu"

Dan yang terbaik buat aku, adalah memuhasabah diri sendiri sepanjang setahun usia yang Allah pinjamkan untuk aku.

Allah. Macam-macam dah aku lalui. 1434 Hijrah penuh suka dan duka. Penuh peristiwa dan hari-hari yang mematangkan fikiran dan mengubah tingkah laku aku.

Sakit dan perit untuk melakukan perubahan buat diri. Tapi sangat-sangat berbaloi.

Bila saat sukar dan mencabar datang, aku tanya Allah.

Aku tanya Allah berkali-kali. Aku tahu Allah tak akan jemu dengar keluh kesah aku.

Aku tanya lagi dan lagi. Selalu aku rasa nak give up, tapi Allah bagi jawapan..

"Teruskan Hazirah! Allah ada"

Tiba-tiba aku rasa dapat satu tenaga luar biasa punya.

"Ok Allah, saya akan teruskan"

PENGAJARAN DARI AL-QURAN

Setiap kali aku rasa susah hati, aku rasa down, aku rasa macam nak give up. Macam je ok, macam hehe..

Aku buka Al-Quran, mesti kena kat ayat nie..

81. orang-orang (munafik) Yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Api neraka jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang Yang memahami.

Surah At-Taubah ayat 81.

Aku tahu ni bukan kebetulan, kalau dah lebih 3 kali buka Al-Quran je mesti kat page yang sama dan ayat ni, aku tahu ni bukan kebetulan kan Allah?

Allah sedang berbicara dengan aku.. Oh indahnya rasa ini! :-D

Allah bagi hint kat aku suruh aku teruskan, suruh aku teruskan perjuangan dalam hidup ni dan tetap berpegang pada apa yang aku ada.

Dah tentu zaman sekarang tak ada perang lagi, tapi maksud perang bagi aku adalah sangat dalam. Atau dengan erti kata lain Jihad.

Menjadi hamba yang baik merupakan satu Jihad, belajar pun jihad, bekerja pun jihad juga. Luas sangat konteks jihad ni kalau kita faham.

Ok, mari kita kupas ayat tersebut..
  • Allah kata yang tak berusaha, tak keluar berperang akan rasa gembira dengan duduk diam-diam (Dah tentu la rasa seronok dan senang sebab tak buat kerja, tak bersusah payah, duduk lepak je. Macam mana nak rasa perit dan susah semasa berusaha kalau tak buat apa-apa)

  • Orang yang keluar berjihad pula akan melakukan pengorbanan, sama ada pada harta dan jiwa (Nak buat benda baik, nak berubah kena la berkorban, dalam konteks zaman sekarang ni, korbankan masa, korbankan wang ringgit, korbankan aktiviti-aktiviti yang kita suka buat. Contoh kalau dulu suka buang masa tengok movie, nak jadi orang yang berilmu kena la gigih cari ilmu )

  • Yang paling teruk orang yang tak berjihad ni akan mempengaruhi orang lain dengan alasan-alasan tertentu, dengan erti kata lain "tak payah la susah-susah pergi buat kerja tu" ( Yang ni biasa jadi kat sekeliling kita. Cabaran yang terbesar adalah orang-orang yang rapat dengan kita. Sometimes orang selalu perlekehkan benda yang kita nak buat, lagi teruk bila tak bagi sokongan langsung dan tak cuba untuk faham )

  • Tapi Allah pula kata, kat akhirat (neraka) nanti lagi susah, lagi perit, lagi panas nak dibandingkan dengan cabaran di dunia ini.  ( Point yang sangat best, Allah ingatkan bahawa hidup kat dunia ni cabarannya kecil je kalau kita tabah dan bersungguh-sungguh menghadapinya. Lagi pun Allah kan ada. Cuba bayangkan kita penat-penat kat dunia ni, bersusah-payah lepas tu kat akhirat nanti Allah akan balas dengan ganjaran syurga. Waaaaaa~ *kelip-kelip mata. Tapi kalau kita tak nak bersusah-susah keluar siang-siang hari yang panas terik tu, Allah ancam dengan kata-kata bahawa neraka tu lagi susah dan panas nak banding dengan panas kat dunia yang alahai ciput je pun. )
So, kita nak yang mana???

  • Last sekali, Allah kata hanya orang-orang yang memahami sahaja yang akan tahu dan faham. Yang tak faham akan rasa ikut berjihad tu sangat susah, yang tak faham juga akan rasa cabaran kat dunia ni sangat susah. ( Bersyukurlah apabila menjadi hamba yang diberi kefahaman oleh Allah apa itu erti perjuangan. Bukan semua diberi rezeki memahami sesuatu perkara. Kefahaman terhadap sesuatu ilmu juga adalah merupakan rezeki yang dah tentunya dari Allah. Jadi, bila kita lihat seseorang itu bersusah -payah untuk sesuatu yang kita tak faham, berilah walau secebis sokongan. Adakalanya cukup dengan kata-kata "Semoga Allah mudahkan urusan kamu". 
Buat mereka yang sedang merasa susah, sedang berjuang dalam apa-apa perkara sekalipun, teruskan perjuangan anda, dan yakinlah Allah tidak mensia-siakan amal kebaikan kita walau secebis sekali pun.

Keep searching. Sebab apa yang kita cari, petunjuk yang sedang kita cuba dapatkan akan tiba juga suatu saat nanti.

Allah Maha Penyayang. Yakinlah dia tak akan biarkan hamba-hambaNya yang mengharap belas padaNya terbiar terkontang-kanting begitu saja.

Alhamdulillah. Kesempatan melalui 1434 Hijrah yang lepas sangat sangat sangat bermakna dan berharga bagi aku. Macam-macam yang Allah beri. MasyaAllah nikmat tak putus-putus. Dan macam-macam juga yang aku belajar.

Terima kasih Allah untuk kehidupan yang indah ini. Moga 1435 Hijrah dilimpahi rahmat Ilahi, cemerlang dan gemilang dengan sinar hidayah serta taufiq dariNya.

Salam Maal Hijrah 1435 Hijrah buat semua.

Dari aku hamba Allah yang hina.