Wednesday, November 13, 2013

Tahap Kemanisan Iman

Mereka yang telah mendapat kemanisan iman ertinya sudah mula melepasi tingkat mujahadah yakni tahap bersusah payah, berhempas pulas melawan nafsu dan syaitan. 


Maksudnya, perjuangan dan pemburuan untuk memiliki kemanisan iman perlu melalui jalan yang sukar. Kemanisan itu hanya berada di kemuncak pendakian. Sebenarnya hati manusia melalui beberapa tahap dalam usaha mentaati Allah.


TAHAP USAHA MENTAATI ALLAH


Tahap 1 : Tahap Kepahitan (Kepedihan)

Tahap 2 : Tahap Kebiasaan

Tahap 3 : Tahap Kemanisan


Tahap 1 : Tahap Kepahitan (Kepedihan)


Ini ialah tahap permulaan dalam langkah menjalani ibadah. Walaupun berdasarkan ilmu yang ada seseorang telah tahu bahawa kebaikan itu perlu dilakukan dan kejahatan itu perlu ditinggalkan, tetapi di peringkat pelaksanaan ia begitu perit untuk dilakukan. Jiwa terasa amat terseksa. Untuk bangun solat suubuh misalnya, amat menyeksakan. Begitulah juga sewaktu kali pertama mengenakan pakaian menutup aurat, meninggalkan riba dan sebagainya.


"Tahu" boleh dicapai dengan belajar, 

tetapi

"mahu" perlu melalui proses mujahadah.


Ramai orang yang tewas di peringkat ini. Mereka terlalu manjakan diri sendiri hingga tidak sanggup bersusah-susah demi mentaati perintah Allah. Terasa pedih sedikit, sudah mengalah. Terasa pahit sedikit, terus diluah. Mereka lupa bahawa untuk mendapatkan kesenangan dan ketenangan yang berpanjangan dan berkekalan perlu melalui kepahitan yang sedikit dan sementara. Mereka tidak sanggup bersusah-susah melawan nafsu demi mencapai kemanisan iman. Padahal kepedihan mujahadah itu hanya sekelumit jika dibandingkan dengan kepedihan api neraka.


Dalam konteks ini, Imam al-Ghazali pernah menempelak sikap malas bermujahadah orang Islam yang berada dalam kebenaran berbanding rahib-rahib Kristian, Hindu dan lain yang sanggup bersusah payah sedangkan mereka dalam kebatilan. Dan kita patut berasa malu betapa hebatnya pengorbanan dan sikap bersungguh-sungguh orang kafir untuk mendapatkan kenikmatan dunia yang sementara, sedangkan kita masih bermalas-malasan untuk mendapat kenikmatan akhirat yang kekal abadi!


Tahap 2 : Tahap Kebiasaan


Apabila mujahadah berjaya diteruskan, seseorang akan menempuh tahap kedua yakni kebiasaan. Apabila seseorang terus membiasakan diri melakukan amalan-amalan yang baik dan meninggalkan kejahatan, lama-kelamaan kepahitan yang dilalui pada peringkat pertama akan beransur hilang. Kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


Yang pahit sekalipun tetapi jika dilakukan berulang-ulang kali akan hilang kepahitannya dan timbul rasa biasa mengamalkannya. Rasa malas, berat dan sukar akan dapat diatasi apabila sesuatu amalan dilakukan berulang kali. Justeru, dalam kaedah pendidikan kita sering diingatkan agar membetulkan yang biasa dan kemudian membiasakan yang betul. Untuk berada pada tahap ini, mujahadah perlu dilaksanakan secara konsisten (istiqamah).


Tahap 3 : Tahap Kemanisan 


Akhirnya, sesiapa yang istiqamah dalam mujahadah akan sampai ke peringkat halawah (rasa manis). Setiap ibadah yang mulanya susah payah itu apabila terus dibiasakan akan ada kemanisannya. Solat ada kemanisannya. Puasa ada kemanisannya. Berzakat dan lain-lain, pasti ada kemanisannya tersendiri. Malah sampai kepada peringkat mati syahid pun ada kemanisannya. Sehinggakan mereka yang mati syahid punya keinginan untuk kembali semula ke dunia untuk merasai kemanisan mati syahid itu buat kesekian kalinya.


Kemanisan iman mengatasai segala kemanisan dunia dan isinya. Sayidina Abu Bakar r.a berkata, "Sesiapa yang telah mengecapi sebahagian daripada kemurnian cinta kepada Allah swt, maka hal itu akan menyibukkannya daripada mencintai dunia dan mengasingkan diri daripada seluruh cinta manusia".




Dari buku : Semuanya Soal Hati 

Penulis : Pahrol Mohamad Juoi

No comments: