Sunday, November 17, 2013

Wasiat Rasulullah kepada Sayidina Ali

Sebagaimana wasiat dan pesanan yang dihadiahkan Rasulullah saw kepada isteri, anak, kaum kerabat dan Umat Islam seluruhnya, wasiat Sayidina Ali selaku menantu Baginda adalah antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan renungan serta pedoman bersama. Sungguhpun wasiat ini adalah khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim perlu jadikannya sebagai iktibar dan amalan.


Wahai Ali, bagi orang Mukmin itu ada tiga tanda iaitu,
Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
Tidak terpesona dengan pujuk rayu
Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali, bagi orang alim itu ada tiga tanda iaitu,
Jujur dalam berkata-kata
Menjauhi segala yang haram
Merendahkan diri

Wahai Ali, bagi orang yang jujur itu ada tiga tanda iaitu,
Merahsiakan ibadahnya
Merahsiakan sedekahnya
Merahsiakan ujian yang menimpanya


Wahai Ali, bagi orang yang bertakwa itu ada tiga tanda iaitu,
Takut berlaku dusta dan keji
Menjauhi kejahatan
Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali, bagi ahli ibadah itu ada tiga tanda iaitu,
Mengawasi dirinya
Menghisab dirinya
Memperbanyakkan ibadah kepada Allah swt


Ibnu Abbas ada meriwayatkan bahawa Ali berkata, "Pada hari perkahwinanku dengan Fatimah, Rasulullah bersabda kepadaku. Mengutarakan 13 wasiat khusus untukku iaitu :


  • "Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (bilik mandi) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia akan mendapat laknat (mal'un)."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau memakai cincin pada jari telunjuk dan tengah. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut."

  • "Wahai Ali sesungguhnya Allah mengagumi hambaNya yang melafazkan istighfar."
           "Tuhanku ampunilah dosaku sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau."

Allah berfirman,
"Hai Malaikat, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa, melainkan Aku. Hai malaikatKu, jadilah saksi bahawasanya aku telah mengampunkan dia."


  • "Wahai Ali, takutilah engkau daripada dusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai pendusta dan bahawasanya yang benar itu memutihkan muka dan diletakkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawa benar itu berkat dan dusta itu celaka."

  • "Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu domba. Bahawasanya orang yang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan namaNya."

  • "Wahai Ali, janganlah engkau bercita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari."

  • "Wahai Ali, takutilah engkau dari membantah dan berkelahi dengan memaki hamun dan bersumpah seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan."

  • "Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah. Mencungkil gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan pada celah gigi tidak dicungkil selepas makan."

  • "Wahai Ali, jangalah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan serta kesabaran Allah ke atas hambaNya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran."

  • "Wahai Ali, perhitungkanlah kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah."

  • "Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri engkau. Hendaklah engkau berlaku adil dalam setiap hukuman. Maka dengan demikian, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi."

  • "Wahai Ali, elokkan perhubungan antara masyarakat jiran sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya diletakkan darjat yang tinggi bagi engkau."

  • "Wahai Ali, peliharalah pesanan dan wasiatku. InsyaAllah engkau akan mendapat kemenangan dan kelepasan."


Buku : Biografi Agung Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam
Penulis : Rusydi Ramli Al-Jauhari



Selawat dan salam buat Junjungan besar 
Rasulullah saw serta ahli keluarga baginda

No comments: